Riwayat hidup Jamaluddin al-Afghani

Biodata

Nama sebenar Sayid Jamaluddin al-Afghani ialah Muhammad Jamaluddin al-Afghani al-Husaini. Namun, terdapat sesetengah sumber menyatakan nama sebenarnya ialah Muhammad ibn Safdar al-Husain. Dilahirkan pada tahun 1838 Masihi bersamaan dengan 1254 Hijrah, beliau dibesarkan di tempat lahirnya, iaitu di Asadabad, salah satu kawasan di Zon Kunar di Afghanistan [2][3][4]. Datuknya, Sayid Ali pernah tinggal untuk sementara waktu di Hamedan, Iran dan beliau dikenali sebagai Hamadani. Manakala ayah Sayid Jamaluddin al-Afghani, Sayid Safdar, menetap di Kabul pada 1844 Masihi bersama keluarganya. Beberapa tahun kemudian, beliau berpindah ke Hamedan, Iran, disebabkan tekanan politik yang diletakkan ke atasnya oleh Raja Afghanistan. Walau bagaimanapun, menurut sumber dari beberapa warganegara Iran, beliau dilahirkan di As’adabad di Zon Hamedan, Iran.

Sayid Jamaluddin al-Afghani mempunyai pertalian darah dengan seorang periwayat hadis yang terkenal, Imam at-Tarmizi dan seterusnya kepada Saidina Ali bin Abi Talib.

Sayid Jamaluddin al-Afghani adalah seorang yang suka mengembara. Beliau telah mengembara ke beberapa tempat seperti Najaf, India, Makkah, Tehran dan Khurasan.

Beliau meninggal dunia pada tahun 1897 Masihi bersamaan 1314 Hijrah ketika berusia 60 tahun dan beliau dikebumikan di Istanbul. Pada lewat tahun 1944, jenazah Sayid Jamaluddin al-Afghani dibawa ke Afghanistan atas permintaan kerajaan Afghanistan. Jenazahnya dikebumikan di Kabul di dalam Universiti Kabul. Sebuah mousoleum telah didirikan untuknya.

Pendidikan

Pada peringkat awal, Sayid Jamaluddin al-Afghani mendapat pendidikan daripada orang tuanya dalam bidang ilmu agama dan bahasa Arab. Beliau mempelajari asas-asas bahasa Arab seperti nahu(grammar arab) dan sastera ketika itu. Selepas itu, beliau mempelajari ilmu-ilmu keagamaan seperti ilmu tauhid, fikah, usul fikah, tafsir, hadis dan lain-lain.

Sayid Jamaluddin telah menghafaz al-Quran ketika beliau berusia 12 tahun. Beliau mendalami beberapa disiplin ilmu seperti hadis, falsafah, mantik, usuluddin, perubatan, dan ilmu kalam ketika berada di Najaf. Ketika Sayid Jamaluddin al-Afghani merantau ke India, beliau telah mempelajari ilmu-ilmu moden seperti sains dan matematik.

Dalam pada itu, Sayid Jamaluddin al-Afghani juga mula berkarya. Karya Sayid Jamaluddin al-Afghani yang pertama berjudul Keterangan Lengkap tentang Sejarah Afghanistan.

Semasa menetap di Mesir, beliau telah bertemu dengan ramai penuntut Universiti al-Azhar yang datang menimba ilmu dan pengalaman daripadanya, termasuklah Syeikh Muhammad Abduh. Hasil pertemuan tersebut telah menyemarakkan gerakan pemikiran Jamaluddin di Mesir. Gerakan ini dikenali sebagai Gerakan Islah.

Ketokohan dan keperibadian

Jamaluddin al-Afghani merupakan seorang pelopor kebangkitan orang-orang Islam di beberapa tempat seperti di Tehran, Moscow dan lain-lain. Beliau berjaya meniupkan semangat perjuangan dan menyedarkan orang-orang Islam supaya menentang penjajah demi kemajuan diri, masyarakat, agama dan negara. Pidatonya yang bernas dan bersemangat dapat menyuntik semangat umat Islam. Beliau cuba mengembalikan keyakinan umat Islam di India terhadap kemampuan mereka menentang penjajah. Antara teks pidato beliau ialah:

Seandainya jumlah kamu yang beratus-ratus juta ini, ditakdirkan menjadi lalat dan nyamuk sekalipun, nescaya kamu akan dapat memekakkan telinga-telinga orang Inggeris dengan suara kamu. Seandainya kamu ditakdirkan menjadi labi-labi atau penyu sekalipun, lalu kamu berenang ke tanah Inggeris, bilangan kamu yang seramai ini akan dapat mengepung dan menenggelamkan tanah Inggeris. Kamu akan pulang ke India dalam keadaan selamat.

Sayid Jamaluddin al-Afghani merupakan seorang tokoh ilmuwan dan pemikir Islam yang terkenal pada kurun ke-19 Masihi. Beliau begitu kreatif dalam menghasilkan karya-karya yang bermutu.

Beliau juga adalah seorang ahli politik yang aktif berjuang menentang penjajah.

Antara keperibadian-keperibadian yang beliau miliki ialah:

  • Mencintai ilmu pengetahuan;
  • Mempunyai akal fikiran yang cerdas, tajam, dan berpandangan jauh;
  • Memiliki semangat jihad yang tinggi;
  • Berusaha mencorakkan pemikiran masyarakat Islam kepada kemajuan dan bebas daripada penjajah;
  • Mempunyai kewibawaan dan kebolehan sebagai seorang pemimpin;
  • Petah berpidato dalam meniupkan semangat perjuangan dalam kalangan masyarakat Islam;
  • Bergiat dalam arena penulisan dengan menyalurkan idea-idea untuk menyedarkan rakyat ke arah kemajuan *dan pembangunan;
  • Tidak jemu menjelajah ke merata tempat untuk mencari ilmu pengetahuan di samping berdakwah untuk membetulkan kefahaman ajaran Islam yang sebenarnya.